Pendidikan yang bagaimana?

(Sinar Harian – Januari 1, 2014)

Jakarta
14 Disember 2013

 

Salam dari bandara Soekarno-Hatta. Seperti yang pernah saya titipkan dari Doha dua tahun lepas, lapangan terbang masih suatu tempat yang aneh untuk saya. Terpuruk antara pelbagai zon waktu, terperangkap dalam transit antara destinasi, dipenuhi pula dengan fizikal insan yang berbeza dan bahasa yang pelik – persis dalam twilight zone sahaja. Lazimnya, masa terluang dalam penantian akan saya isi dengan memerhati gelagat manusia, tapi kali ini sorotan pendapat dalam The Jakarta Post telah mencuri perhatian saya secara total.

Gordon La Forge – seorang guru lawatan di Kalimantan dan Sumatra melalui program pertukaran pendidikan bilateral – telah menulis kepada sidang redaksi akhbar tersebut tentang pengamatan beliau selama berada dalam sistem pendidikan Indonesia. Beliau mendapati pelajar-pelajar Indonesia kerap meniru antara satu sama dan merujuk nota ketika menempuhi apa-apa peperiksaan.

Lalu saya terfikir, sejauh mana keberkesanan peperiksaan atau ujian dalam sistem pendidikan yang berhasrat untuk melahirkan insan syumul? Insan yang benar-benar cintakan pengetahuan dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut di jalan yang betul. Pujangga Inggeris, Robert Frost, punya pendapat berbeza tentang pendidikan secara amnya: “I am not a teacher, but an awakener.” Sekiranya tugas seorang guru itu untuk menyalakan obor, membakar semangat ingin tahu, mendorong rasa untuk menjajah setiap zon pengetahuan – bukan untuk mengajar secara robotik – maka pencapaian akademik tidak boleh dijadikan kayu ukur kecemerlangan seseorang.

Benar, peperiksaan peringkat nasional seperti Sijil Pelajaran Malayasia (S.P.M.) masih relevan untuk mengukur kecenderungan dan kemampuan seseorang sebelum melangkah ke menara gading. Apa yang dipersoalkan sekarang adalah sejauh mana keberkesanan peperiksaan atau ujian semester di peringkat sekolah? Perlukah kita bertungkus-lumus memastikan anak-anak meraih “A” dalam setiap matapelajaran?

Mari kita lontarkan pandangan ke arah sistem pendidikan Eropah, khususnya Finland. Finland telah membuat keputusan maha tepat 50 tahun lalu, apabila mereka membebaskan pendidikan negara dari sistem ortodoks. Secaranya ringkasnya, guru-guru di Finland mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan jalan terbaik dalam mendidik anak muridnya menghadapi kehidupan apabila dewasa kelak.

Finland juga tidak percaya pada ujian dan peperiksaan, hanya ada satu sahaja peperiksaan yang perlu ditempuh oleh pelajar-pelajar mereka yang setara dengan S.P.M. di Malaysia. Tiada sekolah swasta. Manakala orang-orang yang menentukan halatuju sistem pendidikan Finland adalah pendidik, bukan ahli politik.

Anak-anak di Finland meluangkan banyak masa di luar kelas dan pilihan matapelajaran mereka juga lebih unik seawal darjah satu lagi: Bahasa Finland, Matematik, Sains, Muzik, Sukan, Agama dan Kraftangan Tekstil. Kombinasi matapelajaran peringkat awal negara itu jelas menunjukkan mereka berusaha mencari jalan untuk melengkapkan insan, bukan mencipta robot. Hasilnya sekarang Finland dinobat antara negara yang punyai sistem pendidikan terbaik seantero dunia.

Saya percaya jalan pendidikan untuk Malaysia masih panjang. Tapi anak-anak perlu diasuh dari sekarang bahawa semua pengkhususan pekerjaaan itu mulia dan boleh menjamin keperluan ekonomi seseorang. Masyarakat perlu keluar dari kotak fikiran jumud yang mengagungkan bidang profesional sahaja. Walau saya kagum dengan kepintaran para doktor, jurutera dan arkitek, profesion yang sebenarnya paling hebat adalah perguruan. Kalau guru itu tidak bijak, mana mungkin dunia bisa matang seperti sekarang?

Bukan itu saja, kita juga perlu menitikberatkan bidang vokasional dalam sistem pendidikan negara. Kalau anak-anak tidak gah pencapaian akademik, jalan menuju cemerlang masih boleh dirintis melalui kemahiran. Cabang pendidikan vokasional itu saujana – antara lainnya bidang pentabiran, perniagaan, pertanian, teknologi maklumat, automobil, latihan makmal dan pustakawan – dan ia perlu diperluaskan lagi demi mempelbagaikan pekerjaan dalam negara.

Saya galas harapan pendidikan untuk generasi akan datang di bahu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Walau indah di kertas, perlaksaaan perlu dipantau habis-habisan jika kita mahukan hasil yang mantap. Jangan lupa, masalah PPSMI perlu dilangsai segera. Kita ini usah jadi enau dalam belukar, galak melepaskan pucuk sendiri tapi masa depan anak-anak tersangkal dalam megalomania orang lain.

Merintihlah watan, merangkaklah cendikiawan jika kita terus-terusan mengagungkan pencapaian akademik semata.

*Elviza masih mahu percaya. Beliau membebel di https://twitter.com/elviza.

Against Interpretation

It feeds off me like tapeworms; it colonizes the deepest, most
visceral part of my body. Though I am allowed to take a break from
time to time, it returns with a vengeance before I find any real rest.
This colony -vengeful, relentless and demanding – paralyses me with a
fear like no other. The tolling of a bell calls upon me to leaven the
writing scene, not for the sake of fame or pride, but to forever
nourish the Lucifer inside me – until the day I die. All this because
I have so foolishly chosen to write.

I know I have been a half-baked writer, a mediocre traveler and a poor
note-keeper while I am at it. I have, over time, fallen in and out of
love with places to where writing has taken me: some of the places are
real, while many are imaginary (I have a secret tree house in the
soiree of my imagination. But let us not dwell on that for now).

Life (big word, I know) – as ayah had drilled into his young
daughter’s heart – is the aggregate of the books you have read,
phrases you have imprinted into your heart, surreal conversations you
have struck with strangers, the places you have been and the words you
have written. In other words, it is the sum total of your most
meaningful experiences. Unrecorded, their memory will fade like a
dream at the break of dawn.

And I have been to many of these places and walked down many obscure
paths. The images of these travels are still clear in my mind. But as
age piles on me, I am uncertain how long they will stay.

Let’s speak of the crispy, melancholic air of Left Bank of the River
Siene, trapped in bitter a wind as autumn paves the way to winter. I
recall young lovers holding hands amidst a flourishing street arts
scene, all presented to me in strange languages that are completely
alien to me. The Croatian, the Russians, Italians – all
pseudo-artistes paying homage to an over-rated arts scene.

Neither can I forget the flotilla of boats bobbing up and down in the
cool temperate of South Quay, Western Australia. The water so blue, it
threatens to melt the hardest part of my heart. The faint shout of
foghorns in the misty Le Serinissima still haunts me in the current
tropical heat I live in.

And some places, they just foretell the future. Istanbul does that to
you when she plays god to the unprepared and unbelievers alike. As I
stood alone, wind sashaying my rumpled loose khaki pants at the foot
of Rumeli Feneri where the Bosporus and Black Sea became one, I knew I
would leave legal practice to follow my true calling: to write, to be
a messenger, to foretell the ringing of the reader’s heart.

I wanted to do it all just the way Ms. Gilbert did in Eat Love and
Pray. I’d fill my travel notebook, collect stamps on my passport and
live only in anticipation of the next travel adventure. I’d buy a
one-way plane ticket to Casablanca – with an ensuing train pass to
Marrakech – lost in the pages of my dusty travel notebook. I’d find my
way to Budapest from London – turning up my nose to the speed of
Eurotrain – by taking slow ferry from Dover to Calais. I’d figure out
the rest when I get there – wherever there might be.

Alas, the pursuit of travel writing took a back seat when motherhood
and a career-change combined forces. Be still O my ailing heart, hope
comes in many forms. Hope is all that I have to keep the words
flowing, the heart longing. Pining for something so intangible ruins
me whole.

Of course, I have thought of not giving a fcuk about anything, the way
Henry Miller did in The Tropic of Cancer. But reality is a bitch – a
phrase that makes me feel like I am now living in Dante’s hell.

I’ll edge along just fine, my dear friend, as long as I stay true to my writing.

Pena yang hilang

Sinar Harian & TMI

Kalau mengikut Pak E.B. White, seseorang penulis itu hanya perlu membuat apa yang dia suka, apa yang menyentuh hatinya dan apa-apa sahaja yang bisa menggerakkan mesin taipnya. Kerana seorang penulis tidak perlu rasa bertanggungjawab terhadap mana-mana polar politik, kecuali kepada masyarakat yang membaca apa yang ditulis. Tugas penulis bukan sekadar memberi gambaran atau mentafsir kehidupan, beliau wajib memberitahu dan mengarcakan kehidupan itu.

Kebitaraan tugas penulis itu getir, malah menakutkan jika diimbas betapa beratnya tanggungjawab. Tugas berfikir dan berkarya menuntut taat, disiplin dan pengorbanan masa yang total. Tapi rata-rata kawan penulis saya, semuanya ada kerja tetap kerana tak mampu untuk menulis sepenuh masa. Kenapa begitu? Keluh jawapan mereka serupa, menulis di Malaysia – apatah lagi kalau genre yang dipilih itu puisi atau sastera, bukan genre cinta atau seram – alamatnya mereka cari penyakit bekalan elektrik dan internet rumah bakal dipotong. Kata mereka, tak seberapa bayaran royalti dan honararium yang diterima.

Dua Jumaat lepas, ketika mendengar perdana menteri membentang Belanjawan 2014 di dewan rakyat, perkara ini singgah semula di benak. Di suku terakhir ucapan, beliau sekali lagi mengulang tentang betapa besarnya sumbangan karyawan dalam lanskap sosial negara, lantaran itu dana RM6 juta diperuntukkan.

Soal dana untuk karwayan ini bukan soal baru, pelbagai dana telah diperuntukkan untuk menopang kegiatan anak-anak seni, tapi mengapa masih ada penulis yang merasa terpinggir? Pada 27 April 2009, saya pernah menulis tentang dana penulisan RM10 juta di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 2007. Kenapa sambutan terhadap dana itu jadi suam-suam kuku, adalah kerana syarat permohonan mengekang penghantaran genre fiksyen untuk diterbitkan.

Ada yang terkhilaf di situ, memperkasa seni, menggalakkan penulisan, membudaya sikap membaca maknanya tidak mengekang apa-apa bentuk genre penulisan, malahan kita mesti membuka aula yang lebih luas dalam rencah kepelbagaian. Kalau ikut pengalaman dan pemerhatian saya yang tak seberapa ini, membaca fiksyen – yang lazimnya akan mengunjur kepada cinta untuk membaca puisi pula – adalah candu paling berkesan lagi murah untuk menularkan epidemik membaca dalam sesebuah masyarakat.

Manakala kalau kita mahu ikut kata cerdik pandai yang menyelidik tabiat insani, seorang profesor psikologi kognitif dari University of Toronto, telah mendapati bahawa golongan yang suka membaca fiksyen terdiri dari orang-orang yang mempunyai nilai empati yang tinggi. Kesan yang sama telah disimpulkan bakal terjadi sekiranya kanak-kanak didedahkan dengan pembacaan fiksyen dari usia muda.

Golongan penulis dan karyawan, hatta dari mana-mana negara sekalipun, perlu diberi tumpuan dan dibela perjuangan mereka. Kerana akibat meminggirkan mereka ini boleh jadi fatal. Semasa South Afrika terbungkam di bawah sistem aparteid, kesusasteraan telah dijadikan senjata perjuangan untuk rakyat meloloskan diri dari cengkaman dasar itu. Tidak perlu pergi jauh, cukup sekadar kita menoropong setakat ke Pulau Jawa sahaja, bagaimana W.S. Rendra menyindir kesenjangan sosial, ekonomi dan politik Indonesia melalui prosa-prosa puisi tahap hampir kafi. Tiada yang boleh lupa bagaimana Rendra menukil setiap penderitaan golongan buruh Indonesia melalui puisinya, Sajak Orang Terbuang.

Mungkin sudah resam duniawi, melankoli itu bisa jadi pendorong kreativiti. Derita lebih mudah dinuansakan dalam puisi dari meminta-minta, memperjudi harga diri. Kalau kita mendekati mereka, serupa kita dapat mendengar keluh kesah rakyat setiap hari.

Kalau memberi dana untuk mereka yang berorientasikan seni ini, tidak perlu disubjekkan kepada banyak syarat dan formaliti. Apatah lagi jika syarat tersebut diolah oleh mereka yang tak faham tentang seni. Tak usah diwajibkan mereka bernaung di bawah mana-mana persatuan atau syarikat persendirian, bukan semua perkara boleh dicatu atau diKPIkan. Pendekatan berbeza perlu diambil untuk mengukur kesan sesuatu yang abstrak dan halus. Cukup sekadar kita tahu betapa pentingnya sumbangan mereka dalam mencorak fabrik kehidupan. Kita mahu jadi negara maju bukan sekadar di kantung sahaja, tapi kita mahu jadi negara maju penuh jiwa.

Dan saya percaya, bahagia untuk karyawan itu sederhana.

  • Bahagia untuk saya juga sederhana, hanya nak jadi seorang hakawati.

Fatamorgana atau tradisi?

[Via other links: Sinar Harian & TMI, 2 Oct 2013]

Setiap kali panggung Mak Yong dibuka dengan adat bertabuh dan mengadap rebab, setiap kali itulah perasaan takut menjajah seluruh punca deria. Kurang pasti berapa usia saya ketika itu, mungkin dalam lingkungan antara 10 hingga 13 tahun. Di pedalaman Kelantan itulah tempat saya pertama kali mendapat pendedahan seni taridra Mak Yong.

Entah mengapa tetapi gabungan bunyi serunai dan rebab, lentik jemari si penari, suara dan lirikan mata protagonis taridra itu nyata memberkas, lalu menyentuh seluruh rawan. Saya gementar. Namun, gementar tidak bererti saya pulang ke rumah sebelum tamat Mok Yong, Anak Raja Gondang, Raja Bongsu Sakti dan Dewa Muda bercerita. Di pentas Mak Yong mereka hidup dalam dua alam: alam nyata dan alam dewa-dewi.

Taridra Mak Yong di awal 80-an, masih jadi medium hiburan pilihan. Rata-rata penduduk yang digilis kesempitan kewangan atau dihimpit kesederhanaan (yang sebenarnya hampir pada tahap miskin), bila dapat menonton Mak Yong, indahnya bagai Sahara ditimpa hujan. Mungkin dalam sempit dan sederhana itu mereka tahu, seni adalah satu-satunya cara untuk lari tanpa meninggalkan kehidupan sebenar.

Susur galur sejarah Mak Yong bukan sedikit. Gemalai taridra yang lazimnya dipentaskan di padang terbuka itu berasal dari Pattani, Thailand. Di Malaysia, Mak Yong mendapat tapak dan terus bermaustatin di negeri Puteri Saadong.

Jika mengikut tutur orang tua-tua, Mak Yong asalnya dipersembahkan eksklusif untuk para bangsawan dan golongan istana. Namun Mak Yong telah diturunkan kepada hamba rakyat untuk menghormati semangat padi atau mengubat penyakit kronik.

Kemasyhuran tarian Mak Yong mula hilang sengat setelah British menjajah Tanah Melayu dan kejadian banjir paling buruk dalam sejarah Kelantan – kata nenda saya, “boh air meroh” – pada tahun 1926.

Metafora teaterikal dan nilai estetika Mak Yong luntur dihakis peredaran zaman dan perkembangan muzik sejagat. Era joget yang menyusul pula langsung tidak membantu taridra lama ini untuk kekal relevan di mata masyarakat.

Selagi kita ini manusia, kita akan selalu menghakimi. Sejak kecil saya mendengar desas-desus tentang anak wayang Mak Yong yang kononnya punya moral kurang baik kerana antara mereka ramai yang menyandang status ‘janda’. Kenapa pula status janda dan moraliti mesti dibincangkan di atas platform yang sama, saya kurang pasti. Tidak sampai dek akal saya yang masih muda ketika itu.

Walaupun sedikit takut, taridra Mak Yong cukup mempesonakan di mata saya. Apabila dewasa saya sedar apa yang membuatkan seorang penari itu hebat, bukan kerana teknik yang dipelajari, tapi kerana mereka sungguh percaya dengan bidang seni yang dipilih.

Taridra adalah penzahiran bahasa jiwa dan Mak Yong punyai bahasa jiwa yang cukup sempurna. Malah kehebatan Mak Yong diiktiraf dunia apabila UNESCO menyenarai taridra ini sebagai Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity, iaitu pengiktirafan tertinggi warisan dunia bagi seni budaya.

Bagaimanapun, tidak semua yang diiktiraf itu senang untuk diperjuangkan. Rakan Facebook saya, Dr. Zulkifli Mohamad, telah menulis tentang masalah yang membelenggu taridra Mak Yong,  antaranya adalah: Masalah kurang faham bahasa perantaraan, pengubahsuaian terlampau, kesan urbanisasi, tiada dana, tiada golongan pelapis, tiada promosi dan pendedahan media, juga kurang ahli fikir dan falsafah yang mampu memanjangkan hayat hidup Mak Yong.

Apa yang menyedihkan apabila taridra ini dianggap hanya sebagai suatu fatamorgana.

Kusut jadinya perjuangan anak seni apabila orang politik campur tangan. Pemerintah negeri sudah lama mengharamkan Mak Yong, kerana kononnya taridra ini bersifat mengkhayalkan dan membawa unsur-unsur tahyul lagi khurafat.

Macam saya selalu kata, politik tidak boleh dicampur aduk dengan seni, alamat nasib tak tentu haluan masa depan seni kita. Seni di tangan orang politik boleh diibaratkan seperti kera mendapat bunga. Bunga jahanam, wanginya hilang.

Di atas neraca antara tahyul atau tradisi, orang terakhir yang layak mengadili bukan ahli politik, bukan pembesar negeri, tetapi anak-anak seni itu sendiri. Jika pembesar negeri arif bijaksana sudah tentu anak wayang wajib dibuat kawan, bukannya lawan.

Seperti kata George Orwell: Semua bentuk seni adalah propaganda.

• Elviza masih percaya. Pohon bertemu minda di https://twitter.com/elviza

 

Apa ada pada seni jalanan?

Sinar Harian, 18 September 2013

HAMZAH Fansuri melalui puisi Perahu pernah berpesan, muda datang hanya sekali dan muda yang sekali itu biarlah bererti. Tapi mengisi muda itu banyak pancaroba, ada 1001 macam petualang minda yang perlu dipilih dan ditampi dalam memburu kematangan insani.

Sekiranya tersalah asuhan atau terkhilaf ikutan, muda yang sekali itu bakal tersisa di jalanan–lantas kita nampak persis seperti insan tanpa sumbangan apa-apa untuk dunia.

Begitu pesan orang tua saya semasa saya kecil dahulu. Tapi sekarang saya mohon membangkang, kerana tak semua yang kurang elok itu atau bermula atau berakhir di jalanan.

Seni jalanan misalnya — hatta seni dalam bentuk apa sekali pun — mampu mendidik masyarakat sekiranya masyarakat tersebut bijak mentafsir maksud tersirat. Dalam norma kehidupan kita hari ini, seni jalanan ada di mana-mana, warga Kuala Lumpur mana yang tidak tahu tentang karya-karya seni visual di tebing Sungai Klang, di antara ibu pejabat Pos Malaysia dan Pasar Seni.

Malangnya, seni jalanan sering dikonotasi sebagai grafiti, lantaran ia diklasifikasikan di bawah aktiviti vandalisme. Tapi sebenarnya wujud garis jelas untuk membezakan antara seni jalanan dan grafiti.

Orang-orang yang percaya kepada seni, lazimnya, mengguna pakai teknik seni yang formal dan pemikiran kritis walau ketika berkarya hanya di tembok jalanan. Berbeza dengan contengan perkataan dan lukisan rengsa cacamarba (selalunya menggunakan cat tin yang disembur semberono) milik penconteng grafiti.

Kalau kena gaya, seni jalanan bisa jadi mekanisme propaganda paling berkesan sekiranya ketuntasan karya-karya tersebut, meluas sebarannya, relevan dan elusif maksud. Selain daripada itu, seni jalanan juga merupakan suatu bentuk eskapisme paling polos untuk mendidik minda dan jiwa yang merdeka.

Di samping itu juga, seni jalanan turut menggalakkan pengamalnya menjalani ekplosari minda dan memupuk kreativiti yang kental. Lazimnya seni jalanan yang penah saya lihat datang dalam medium paling ekspresif dan berani.

Di pundak seorang karyawan, walaupun kanvasnya cuma tembok batu di tebing sungai, dia masih mampu menyampaikan mesej memberontak dalam cara yang halus. Pihak berkuasa atau politikus terbabit, kalau faham tempelak yang cuba disampaikan pasti pahitnya terasa bak membelah kepayang muda, dimakan mabuk dibuang sayang.

Seni itu boleh menggugat kesombongan orang yang suka memerintah hala tuju sesebuah bentuk seni apabila diberi sedikit kuasa, kerana seni itu kadang-kadang menakutkan.

Kalau mengikut pembacaan dan pengamatan saya yang tidak seberapa ini, Kuala Lumpur dan bandar raya-bandar raya lain dalam negara, mungkin perlu menimbang tara cara memperkasa seni jalanan yang pernah dipupuk di kota-kota lain seperti Jogja, Berlin, Tokyo dan Rio De Janeiro. Paling hampir dengan kita, kota Jogja telah menyaksikan pertumbuhan seni jalanan yang menjurus ke arah mesej berbentuk politik yang sihat dan diterima masyarakat setempat.

Selagi kita masih menelusuri naratif tentang seni jalanan, mengekang biarlah berpadan.

Kerana bila sampai soal seni dan ekspresi minda, mencegah yang melulu itu sia-sia. Buat saya secara peribadi, seni jalanan adalah sebuah proses evolusi di mana bentuk dan sumbangannya terhadap kemanusiaan sering bertukar, langsung tidak pernah berada di titik statik. Tiada undang-undang atau kekangan yang mampu menjajah ekspresi seni yang sebenar.

• Buat Elviza, muda yang sekali itu sudah hampir ke penghujung. Itu getir lagi menakutkan.

Merdeka yang bagaimana?

In Sinar Harian & TMI

Masih dalam semangat dan minggu menyambut merdeka, bukan? Jadi kita teruskan bertemu minda tentang pengertian merdeka di ruangan saya minggu ini.

Merintis hidup sebagai bangsa merdeka bukan alang kepalang kerjanya. Seperti pesan Pak Hamka yang kerap singgah di benak, setiap kali saya terfikir tentang metodologi dalam mengisi kemerdekaan: “Hidup ini bukanlah suatu jalan yang datar dan ditaburi bunga melainkan adakalanya disirami air mata dan darah.”

Jika benar kemerdekaan Tanah Melayu dahulunya ditebus dengan air mata dan darah, lalu pasca 56 selepas bebas daripada cengkaman penjajah, merdeka yang bagaimanakah yang kita dambakan?

Pengertian merdeka itu sarwajagat, maksudnya luas. Bermula daripada minda yang merdeka, kebebasan bersuara di mana-mana medium pilihan, tahap kefahaman berkenaan hak kemanusiaan yang jitu, menjurus kepada kebebasan untuk membuat keputusan dan memilih kerajaan.

Baru-baru ini, ada entri baru tentang pengertian merdeka untuk saya, di mana saya tidak merasa terpaksa atau tidak juga rasa terlalu patriotik ketika menyanyikan Negaraku sebelum menonton wayang. Ia bukan sesuatu yang membebankan untuk jiwa yang benar-benar merdeka.

Kadang-kadang saya rasa merdeka itu hanya satu hipotesis yang berpanjangan.

Namun dalam menentukan halatuju wahana perbincangan minggu ini, saya memilih untuk menulis tentang satu aspek kemerdekaan yang masih belum sempurna: bahasa kebangsaan.

Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, dalam bukunya yang bertajuk Harun Aminurrashid, pernah memetik kata-kata O.T. Dussek, pengetua pertama Maktab Melayu Kuala Kangsar: “ Bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih dari 70 juta umat manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa yang terbesar di dunia ini. Jangan lupakan hakikat itu. Perliharalah bahasa kamu itu, berusahalah meninggikannya ke tahap yang layak di kalangan bahasa-bahasa dunia. Apabila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggi pulalah taraf bangsa kamu.”

Selepas itu, bertitik tolak pula daripada pemikiran Tunku Abdul Rahman pada tahun 1975, di mana beliau berpesan: “Sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian – apa yang boleh saya ungkapkan sebagai negara yang tidak mempunyai jiwa dan roh.”

38 tahun berlalu sejak Tunku bercakap soal peranan bahasa kebangsaan sebagai jiwa dan roh sebuah bangsa yang merdeka; 38 tahun yang sejuk dan sunyi, kekal mati. Tak sehangat laungan Merdeka! milik Tunku yang ditiup semula rohnya setiap kali menjelang 31 Ogos.

Pesan O.T. Dussek juga hambar dalam ingatan. Tiada yang ambil pusing.

Kerana masih ramai antara kita yang tergagap-gagap bertutur dalam bahasa kebangsaan. Kerana masih ramai antara kita yang langsung tidak  boleh menulis dalam bahasa kebangsaan. Kerana masih ramai antara kita yang merasakan bahasa lain lebih agung daripada bahasa kebangsaan.

Apa yang lebih menyedihkan untuk bangsaku yang merdeka ini ialah, apabila ada di antara kita, yang hanya mampu bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing sahaja. Jangan marah, saya berkata benar.

Juga perkembangan bahasa Melayu tidak digarap dan diperlihara pertumbuhannya dengan sempurna di bawah agensi kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab sedia ada. Jika ada pun hanya segelintir pencinta bahasa yang benar berkhidmat atas dasar cinta, selebihnya mereka sekadar melepas batuk di tangga, asal gaji dikredit masuk setiap bulan, itu sudah cukup.

Jalan memartabatkan bahasa kebangsaan itu berliku, tidak boleh dibuat semberono. Rasa cinta kepada bahasa Melayu harus disemai seawal mungkin, rasa bangga menggunakan bahasa kebangsaan sebagai lingua-franca harus dibelai dan kita wajib memertabatkan bahasa kebangsaan tanpa perlu disuruh, didorong.

Aktiviti yang berkisar tentang bahasa kebangsaan juga wajib diberi nafas baru, ditelek dan diperhati, lalu dibentuk mengikut selera orang muda. Barulah bahasa kebangsaan mampu menjadi perantaraan yang kontemporari bukan kuno; sesuatu yang cool bukannya ketinggalan zaman.

Dan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa wahid dalam perantaraan kita seharian, tidak bermakna kita menyisihkan bahasa-bahasa ilmu yang lain – misalnya bahasa Inggeris.

Orang yang benar-benar merdeka tidak teragak-agak, apalagi takut untuk bercakap dan berdebat dalam bahasa kebangsaaan. Bangsa yang penakut itu tidak berhak memiliki merdeka, kerana ketakutan itu merupakan seorang penasihat yang sangat curang dalam mana-mana kemerdekaan.

Apalah nasib badan, dalam soal memperkasa bahasa kebangsaan, kemerdekaan saya masih pincang.

  • Elviza bakal mati beragan jika penanya dipasung. Satu sekolah untuk semua.